Bukan sahaja dalam pelaburan hartanah, tapi dalam setiap apa pun yang kita nak buat, perlu ada objektif/matlamat. Objektif boleh berubah2 mengikut keadaan. Macam aku dulu, masa mula2 nak buat sublet, matlamat utama adalah untuk mengubah kewangan bulanan daripada negatif setiap bulan kepada positive cashflow. Kalau dulu, boleh kata setiap bulan aku short tak cukup duit. Hujung2 bulan akan berkira2 bila la gaji nak masuk. Biasanya akan guna duit wife dalam RM300-400 untuk tampung perbelanjaan. Nak beli susu dan pampers atau pakaian anak2 pn terpaksa tangguh2kan. Sebagai suami, aku cuba untuk tidak menyentuh gaji isteri aku. Bukan lah ego ke apa, tapi bagi aku, itu adalah hasil titik peluh dia sendiri. Aku tak mampu nak bagi nafkah bulanan, jadi biarlah aku berikan kebebasan untuk dia membelanjakannya mengikut kehendak dia.
Masa wife tgh pregnant kan kembar, aku pun mula belajar dan beranikan diri untuk buat sublet. Ingat lagi aku gunakan duit bonus pada tahun awal tahun 2014 sebagai modal permulaan. Masa tu aku mulakan dengan sewa rumah Kak Ina kat Putrajaya, buat sewa per head. Tak lama lepas tu, tambah lagi 2 unit (Rose & Idaman). Tahu2 je hujung tahun 2014 dah ada 7 buah rumah sewa. Alhamdulillah dapatlah pendapatan tambahan dalam RM1k++ setiap bulan. Duit extra tu lah yang aku gunakan untuk tampung perbelanjaan yang meningkat lebih2 lagi sejak kembar dah lahir. Disebabkan tu jugak aku berani untuk ambil insurans untuk diorang.
Kalau dulu target aku untuk cashflow, sekarang ni aku mula merangka strategi baru. Iyela, penat weh buat sublet. Memang betul dapat extra cash setiap bulan2, tapi aku juga mahukan pegangan aset. Aku mula memikirkan cara untuk membeli rumah untuk disewakan. Alhamdulillah ada sepupu yang mempunyai mindset yang hampir sama. Kami JV untuk membeli satu unit kos rendah di Damansara Damai secara subsale guna nama dia sementara modal aku yang keluarkan. S&P sudah hampir sebulan ditandatangan, semoga semua urusan rumah ni akan berjalan lancar. Selesai urusan jualbeli, insyaallah kami akan dapat dapat balik modal (cashback). Boleh la dia gunakan untuk tampung belanja kahwin. Untunglaaaaa bole kawin percuma tanpa modal. Kalaulah dulu aku tau teknik ni hehehe.
So what's next?Matlamat boleh dibahagikan kepada jangka pendek, sederhana dan panjang. Rasanya ramai pun yang dah tahu benda ni kan. Tapi tanpa sebarang tindakan tak guna jugak kan.
Matlamat Jangka Pendek (3 tahun)
- Memiliki jumlah pendapatan bulanan sebanyak RM8k (gaji + rumah sewa)
- RM4K untuk perbelanjaan bulanan
- Bayaran bulanan rumah di Hillpark (duduk sendiri) sebanyak RM2k (installment RM2.5k) akan ditampung sepenuhnya dari pendapatan rumah sewa. Lagi RM500 wife bayar.
- Menyimpan RM1k setiap bulan dalam ASB/TH
- Menyimpan RM100 untuk setiap anak dalam SSPN
- Masih meneruskan untuk bayar RM200 setiap bulan pada PTPTN
- Menyimpan RM100 dalam TH ayah
- Mewujudkan tabung "maintenance/utilities" sebanyak RM300 sebulan
- Istiqamah untuk bersedekah RM100 setiap bulan
Matlamat Jangka Sederhana (pada umur 40 tahun - 8 tahun lagi)
- Mempunyai option untuk berhenti kerja
- RM8k sepenuhnya daripada pendapatan pasif
- Memiliki 10 unit hartanah dengan net worth RM1 juta
- Umrah/Haji
- Istiqamah untuk bersedekah RM1k setiap bulan
Matlamat Jangka Panjang (pada umur 55 tahun)
- RM10k sepenuhnya daripada pendapatan pasif
- Semua hartanah habis bayar termasuk rumah Hillpark
- Debt free/financial freedom
- Istiqamah untuk terus bersedekah pada rumah anak2 yatim dan rumah orang2 tua
Personally, aku ni jenis yang agak rapat dengan saudara mara. Mungkin hasil didikan arwah nenek, daripada kecik aku dah biasa pegi menziarah dan bermalam di rumah saudara mara. Masih ingat lagi bermalam di rumah arwah kakak kepada arwah nenek di Pasir Panjang. Sama juga masa tidur di rumah keluarga arwah nenek minah di Sg Manik. Dulu selalu pegi kenduri, tak kisah la kenduri kahwin atau arwah. Melawat saudara mara yang sakit/baru meninggal dunia. Tapi sejak dah bekerja, ada anak2, peluang untuk menziarah tu agak sukar. Ramai pakcik/makcik/sepupu yang sakit/meninggal dunia aku tak pegi ziarah sebab komitmen kerja. Tu belum masuk lagi part menjaga orang tua aku. Macam kes ayah, aku tak nak adik beradik bergaduh tentang giliran menjaga ayah yang dah tak berapa sihat sekarang ni. Even tak kisah la dari urusan temujanji doktor @ ambik ubat di hospital. Sama la jugak macam kes abah. Sekarang ni terpaksa bergilir2 ambik cuti untuk uruskan abah. Daripada masa nak operate dulu, sampai lah nak kena kemoterapi di Putrajaya. Aku nak rebut peluang jaga orang tua sementara mereka masih hidup dan kudrat aku masih kuat. At least kalau aku dah berhenti kerja, aku memiliki masa @ flexibility yang orang lain takde. Selain daripada tu, aku juga nak ada masa untuk beribadah. Solat berjemaah di masjid pada setiap waktu ketika orang lain berada di pejabat. Mengikuti kelas/ceramah2 agama pada malam hari ketika orang lain penat baru pulang dari pejabat menempuh kesesakan jalan raya.
Ya Allah, kepada Engkau aku bermohon. Mudahkan lah semua urusan hamba Mu ini. Amin